KOTA KINABALU: Seorang warga emas bersama anak lelaki dan cucunya ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Darau, Menggatal, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Loupin Adow, 67; anaknya, Azman Maduin, 50; dan cucunya, Nurul Asyiqin Alinor, 29.
Suami kepada Nurul yang berusia 34 tahun pula mengalami kecederaan melecur sebelum dibawa ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.43 pagi.
Katanya, seramai 13 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), EMRS dan Toyota Hilux dikerahkan ke lokasi sebelum tiba kira-kira tujuh minit kemudian.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 12 meter kali 12 meter yang musnah sepenuhnya.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air daripada tangki jentera,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.10 pagi sebelum pemeriksaan di dalam rumah menemukan ketiga-tiga mangsa dalam keadaan rentung.
“Mayat semua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.
Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sabah Electricity. – Info X