KOTA KINABALU: Sudah berjaya menyelamatkan diri, namun kasih terhadap nenek dan bapa saudara menyebabkan Nurul Asyiqin Alinor, 29, nekad masuk semula ke dalam rumah yang sedang terbakar.
Bagaimanapun, usaha terakhir wanita itu berakhir dengan tragedi apabila dia terperangkap sebelum ditemukan rentung bersama neneknya, Loupin Adow, 67, dan bapa saudaranya, Azman Maduin, 50.
Menurut penduduk Kampung Darau, Menggatal, Nurul pada awalnya dikatakan sudah keluar dari rumah berkenaan ketika kebakaran berlaku, awal pagi tadi.
Namun, menyedari nenek dan bapa saudaranya masih berada di dalam rumah, Nurul dipercayai berpatah balik untuk cuba menyelamatkan mereka.
Api yang semakin marak menyebabkan wanita itu gagal keluar semula sebelum ketiga-tiga mereka ditemukan rentung selepas kebakaran berjaya dikawal.
Suami Nurul yang berusia 34 tahun turut mengalami kecederaan melecur dalam kejadian itu dan dibawa ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.43 pagi.
Katanya, seramai 13 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), EMRS dan Toyota Hilux dikerahkan ke lokasi sebelum tiba kira-kira tujuh minit kemudian.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berukuran kira-kira 12 meter kali 12 meter yang musnah sepenuhnya.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.10 pagi sebelum pemeriksaan menemukan ketiga-tiga mangsa dalam keadaan rentung.
“Mayat semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X