KOTA KINABALU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama polis dan Jabatan Imigresen digesa memperketat kawalan pintu masuk ke negeri ini bagi menyekat kemasukan dadah dalam bentuk perisa rokok elektronik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata sebelum ini perisa rokok elektronik atau vape dipanggil ‘magic mushroom’ dikenal pasti sebagai dadah sintetik baharu, disusuli ‘blackout atau zombi’.
Katanya, walaupun belum ada laporan kes bahan berbahaya itu di negeri ini, namun pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan kastam perlu mengawasi semua pintu masuk ke Sabah.
Beliau turut mengesa pihak berkuasa, terutama AADK memperketat kawalan fizikal dan logistik di semua pintu sempadan dari negara jiran.
“Mengikut laporan AADK, varian baharu dadah dilabelkan ‘blackout’ itu 100 kali lebih kuat daripada morfin. Dadah sintetik itu juga dikenal pasti telah memasuki pasaran gelap di negara ini.
“Cecair terlarang itu bukan saja boleh dijadikan perisa vape, tetapi turut dicampurkan dalam minuman atau makanan selain dititiskan pada batang rokok sebelum disedut,” katanya.
Sembil memetik laporan AADK, Masiung berkata cecair ‘blackout atau zombi’ mengandungi dos berlebihan, di mana pengguna terlebih khayal dan pasif tidak sedarkan diri.
Bahan khayal itu juga, katanya dicampurkan dengan ketamin dan sejenis racun ‘psikotopik’ berbahaya kepada fizikal manusia.
“Pengguna akan hilang kewarasan dan hilang fikiran sekali gus menyerang saraf otak dan sistem fizikal.
“Kemasukan bahan terlarang itu ke negara ini merangkumi pelbagai taktik termasuk pengangkutan laut dan udara,” katanya.
Masiung tidak menolak kemungkinan bahan terlarang itu diproses oleh sindiket antarabangsa atau tempatan untuk pasaran gelap di negara ini.
Beliau menegaskan, sindiket berkenaan mungkin menggunakan pelbagai modus operandi termasuk penghantaran pos laju dan aplikasi atas talian untuk mengaburi pihak berkuasa. – Info X