Search

Sabah Electricity pastikan bekalan lancar sepanjang penutupan gas di SOGT Kimanis

August 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil sepanjang penutupan sumber gas dari Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, bermula esok.

Menerusi satu kenyataan, syarikat utiliti itu berkata penutupan sumber gas itu disebabkan kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan PETRONAS di SOGT bermula esok hingga 28 Ogos ini.

Katanya, dua loji janakuasa bebas (IPP) yang beroperasi di kawasan berkenaan terjejas berikutan penutupan bekalan gas itu, namun ia tetap beroperasi menggunakan bahan api alternatif daripada diesel.

“Penutupan sementara bekalan gas di kawasan Kimanis itu dibuat bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan oleh PETRONAS.

“Kedua-dua IPP yang terbabit akan terus beroperasi dengan beralih menggunakan bahan api alternatif diesel.

“Semua pihak terbabit sudah membuat persediaan rapi dengan menyelaras operasi, mengoptimumkan sumber penjanaan dan meningkatkan pemantauan sistem sepanjang tempoh penyelenggaraan,” katanya.

Katanya, pasukan operasi dan teknikal Sabah Electricity juga berada dalam keadaan siap siaga jika berlaku kejadian luar jangka kekangan kapasiti penjanaan.

Sebarang kemungkinan catuan bekalan, katanya hanya dilakukan mengikut keperluan pada beberapa tempoh tertentu sahaja dengan impak seminima yang boleh.

“Langkah ini adalah tindakan terakhir bagi mengelakkan ketidakstabilan sistem yang lebih besar serta memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan grid elektrik secara keseluruhan terus terpelihara.

“Orang ramai juga digalakkan supaya menggunakan elektrik secara berhemah, khususnya pada waktu permintaan beban tinggi dan mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi Sabah Electricity,” katanya.- Info X