Search

Jambatan Bailey di Tanjung Lipat dibuka untuk kenderaan ringan

August 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jambatan sementara yang dibina berikutan kerosakan struktur jambatan sedia ada di KM2.85 Jalan Tun Fuad Stephen, Tanjung Lipat, di sini, dibuka bermula jam 12 tengah hari tadi (Jumaat).

Berdasarkan notis dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, jambatan sementara jenis Bailey itu bagaimanapun tidak dibenarkan untuk kegunaan kenderaan berat dan tinggi, dengan had berat dua tan dan tinggi 2.5 meter.

“Orang awam adalah dimaklumkan bahawa pemasangan jambatan sementara di KM2.850 Jalan Tun Fuad Stephen telah siap dan akan dibuka kepada lalu lintas bermula jam 12:00 tengahari pada 21 Ogos 2026 (Jumaat).

“Kenderaan berat seperti treler, lori kontena, bas persiaran dan kenderaan yang melebihi berat 5 tan dan melebihi tinggi 2.5 meter adalah tidak dibenarkan melalui jambatan ini dan dikehendaki menggunakan jalan alternatif yang lain.

“Pemasangan palang had ketinggian di lokasi akan dilakukan bagi tujuan kawalan had ketinggian yang dibenarkan melalui jambatan tersebut. Orang awam dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda amaran dan lalu lintas yang dipasang di lokasi tersebut,” kata notis berkenaan.

Jambatan sedia ada di lokasi terbabit dikesan mengalami keretakan struktur sebelum ditutup untuk kegunaan lalu lintas sejak kira-kira tiga minggu lalu.

Berikutan itu, JKR mengambil langkah segera membina jambatan Bailey bagi memulihkan semula laluan di lokasi terbabit sebelum dilaporkan boleh digunakan mulai tengah hari tadi.- Info X