TUARAN: Empat rumah teres dua tingkat terbakar di Lorong 10, Taman D Sri Gayang, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Kurong Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.28 tengah hari.
Katanya, seramai 12 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi.
“Kebakaran membabitkan empat rumah teres dua tingkat jenis kekal dengan keluasan keseluruhan kira-kira 167 meter persegi.
“Rumah pertama terbakar 90 peratus, rumah kedua 30 peratus, manakala rumah ketiga dan keempat masing-masing terbakar 10 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua pancutan dengan sumber air daripada jentera dan pili bomba.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.13 tengah hari dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.
“Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Amran Lawadin tamat pada jam 2.11 petang selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. – Info X