Search

Jersi rasmi Sabah FC bawa imej baharu Sang Badak bersama Carino

August 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC melancarkan jersi rasmi bagi musim 2026/2027 bersama Carino selaku penaja baharu jersi skuad Sang Badak sepanjang kempen Liga Malaysia kali ini.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang, berkata jersi baharu itu bukan setakat menonjolkan rekaan unik untuk musim ini tetapi turut membawa imej baharu pasukan.

Katanya, jersi itu membawa identiti, semangat dan aspirasi Sabah FC dalam menghadapi saingan musim ini, selain menjadi simbol kebanggaan penyokong dan rakyat Sabah.

“Jersi ini bukan sekadar pakaian sukan tetapi lambang perjuangan dan kebanggaan negeri Sabah. Kita mahu pemain memahami tanggungjawab yang hadir bersama jersi ini dan memberikan komitmen terbaik setiap kali turun ke padang,” katanya dalam ucapan sempena majlis pelancaran itu, di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah.

Awang Kadin berkata, SAFA merakamkan penghargaan kepada Carino sebagai penaja utama jersi Sabah FC bagi musim 2026/2027 atas kepercayaan dan komitmen yang diberikan kepada kelab itu.

Katanya, kerjasama itu satu langkah penting memperkukuh sokongan pihak korporat terhadap perkembangan bola sepak Sabah, selain membantu Sabah FC bergerak ke arah lebih profesional dan kompetitif.

“Musim baharu membawa cabaran dan peluang baharu kepada Sabah FC dan kelab komited untuk terus meningkatkan prestasi pasukan, memperkukuhkan struktur kelab serta memberi ruang kepada pembangunan bakat tempatan.

“Kami mahu Sabah FC bukan sahaja berjaya di atas padang tetapi turut menjadi sebuah kelab yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Beliau juga meminta penyokong Sabah FC terus memberikan sokongan kepada pasukan sepanjang musim 2026/2027.

“Sokongan penyokong di Stadium Likas dan di seluruh Sabah menjadi sumber kekuatan kepada pasukan. Kita berharap penyokong akan terus berdiri bersama Sabah FC dalam apa juga keadaan,” katanya.

Pada musim lalu Sabah FC bekerjasama dengan Adidas selaku penaja rasmi jersi pasukan. – Info X