Search

SUKMA XXII : Petanque Sabah cipta sejarah dengan empat emas, satu perak

August 21, 2026

Info X Reporters

PUCHONG: Skuad petanque Sabah mencipta sejarah baharu di SUKMA XXII Selangor 2026 apabila menamatkan saingan dengan pencapaian terbaik selepas meraih empat pingat emas dan satu perak.

Pada hari terakhir saingan di Arena Petanque, Kompleks Sukan Kuala Selangor, Jumaat, skuad berkenaan menyumbang tiga emas dan satu perak untuk melengkapkan kutipan keseluruhan.

Pencapaian itu bukan sahaja melepasi sasaran dua emas ditetapkan, malah menjadi pencapaian terbaik skuad petanque Sabah dalam sejarah penyertaan di SUKMA.

Pengurus pasukan, Azami Laman, menyifatkan kejayaan itu sebagai detik bersejarah buat sukan petanque Sabah.

“Ini hari bersejarah buat petanque Sabah. Kami mengotakan sasaran dua emas menerusi acara beregu wanita dan regu tiga wanita, manakala yang lain adalah bonus.

“Saya sangat gembira kerana kami turut menang dalam acara beregu lelaki dan regu tiga lelaki. Kedua-duanya adalah pingat bonus buat Sabah,” katanya.

Dalam acara regu tiga lelaki, trio Ainol Shahramadhan Abu Bakar, Muhamad Saidi Sajikil @ Anna’s dan Muhammad Fariz Ahmad Nor Abdullah menampilkan aksi cemerlang apabila menewaskan Pahang 13-1 pada perlawanan akhir.

Emas turut disumbangkan pasangan beregu campuran Ryorie Ethan Augustine dan Maxivianna Robert selepas menewaskan wakil Sarawak 11-5.

Final regu tiga wanita pula menyaksikan pertembungan sesama wakil Sabah, dengan gandingan Leeyana Fitrialesya Kamrudin, Puteri Ara Aryanna Abdullah dan Thadis Henhera Venice muncul juara selepas menewaskan pasukan Nurul Aina Ali Asmat, Siti Noor Ellyshatul Balqish dan Siti Nur Vivianah Chia 13-1.

Kejayaan itu menyaksikan Leeyana meraih emas kedua di SUKMA kali ini selepas sebelum ini bergandingan dengan Nurul Aina untuk memenangi acara beregu wanita pada Rabu.

Sementara itu, kontinjen Sabah turut menambah dua pingat perak dan satu gangsa menerusi tiga sukan yang berakhir lewat Khamis.

Dalam acara individu golf wanita, Jamie Yan Huan Ying meraih perak selepas mengumpul 219 pukulan menerusi catatan 69, 74 dan 76 sepanjang tiga hari saingan.

Pasukan e-sukan Sabah yang dibarisi Ashley Chow Kar Kit, Hasim Sia Jasri, Hazriel Farish Johari, Kris Wong Venky, Mohammad Khairul Lavania dan Muhammad Sahnizam Dramendra pula menamatkan saingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dengan pingat perak selepas aksi final berlarutan sehingga melepasi tengah malam.

Pingat gangsa pula disumbangkan pasukan gimnastik artistik lelaki menerusi Addison Chang Sui Xin, Benny Angelloti Luise, Evan Emmanuel Walter, Leevan Savahi Moosom, Lucas Immanuel Rijoh dan Marvell Vincent Voo yang mengumpul 259.300 mata.-Info X