Search

SUKMA XXII : Skuad takraw Sabah hampiri sasaran lima emas

August 21, 2026

Info X Reporters

SUBANG JAYA: Skuad sepak takraw Sabah semakin hampir merealisasikan sasaran lima pingat emas pada SUKMA XXII Selangor 2026 selepas melakar hatrik emas pada hari ini.
Tiga pingat emas itu diraih dalam saingan akhir di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Puchong, hari ini, sekali gus menyaksikan Sabah kini mengumpul empat emas dalam acara sepak takraw.

Sebelum ini, skuad wanita Sabah menyumbang emas menerusi acara berpasukan pada Selasa lalu.

Pada saingan akhir hari ini, tiga wakil Sabah yang beraksi serentak berjaya menamatkan cabaran masing-masing dengan kemenangan untuk menghadiahkan hatrik emas kepada kontinjen negeri.

Emas pertama disumbangkan menerusi acara regu wanita dua pemain apabila gandingan Nazira Hani Iskandar dan Nedveeasharny Samaan, dengan Fieorylla Faradona sebagai pemain simpanan, menewaskan wakil Perlis 15-7, 15-7.

Beberapa minit kemudian, skuad lelaki pula meneruskan momentum kejayaan Sabah menerusi acara regu dua pemain yang dibarisi Wan Muhammad Zulhakim Wan Sablee dan Wan Syahrul Ramadhan, dengan Norikhman Duraman sebagai pemain simpanan.

Kejayaan hatrik emas Sabah kemudian dilengkapkan menerusi acara regu empat pemain wanita yang dibarisi Fisydiana Faradona, Mersyella Dazzy Abalay, Nur Anis Alia Lair, Nur Syafikah Andi, Nurshazreyana Edy dan Rohaizan Roger Harun.

Mereka menewaskan Perak 15-12, 15-11 untuk menghadiahkan emas ketiga Sabah pada hari berkenaan.

Skuad takraw Sabah kini hanya memerlukan satu lagi emas untuk mencapai sasaran lima emas yang ditetapkan kontinjen negeri pada temasya kali ini.

Dua lagi pingat emas masih dipertandingkan menerusi acara regu lelaki dan wanita.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang turut menyaksikan saingan akhir itu, melahirkan rasa bangga dengan pencapaian skuad takraw Sabah.

“Syabas kepada semua pengurusan dan pasukan sepak takraw Sabah kerana berjaya menyumbangkan pingat seperti yang dijangka dari awal.

“Hari ini kita menang tiga emas, kelmarin satu emas. Insya-Allah, kalau tidak ada aral melintang, esok atau lusa kita dapat satu lagi pingat emas kerana kita memang mengharapkan sepak takraw menyumbang lima emas kepada kontinjen Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan Persatuan Sepak Takraw Sabah itu wajar dijadikan contoh oleh persatuan dan pasukan sukan lain di negeri berkenaan supaya sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.

“Jangan kita buang masa, tenaga dan wang ringgit tetapi bila bertanding kita tidak mendapat apa-apa pingat.

“SUKMA ini adalah satu sukan yang berprestij tinggi di Malaysia dan ia bukan satu sukan yang kita panggil sebagai ‘trial and error’.

“Bila kita bertanding, kita mesti bertanding dengan matlamat untuk menang. Diharapkan persatuan dan pasukan lain di Sabah dapat belajar daripada ini dan memperbaiki persiapan agar kita dapat keputusan lebih baik dua tahun lagi,” katanya.

Turut hadir menyaksikan saingan akhir itu ialah Setiausaha Tetap (SUT) KBSK merangkap Ketua Kontinjen (CDM) Sabah, Datuk Mansur Asun, serta Timbalan CDM, Datuk Michelle Koh.-Info X