SUBANG JAYA: Skuad pelayaran Sabah menutup tirai saingan SUKMA XXII Selangor 2026 dengan cemerlang apabila mengotakan sasaran dua pingat emas, selain menambah tiga gangsa pada hari terakhir pertandingan di Pusat Latihan Perahu Layar Batu Laut, Kuala Langat, hari ini.
Emas pertama disumbangkan Muhammad Aiman Aqeel selepas mengungguli acara ILCA 4 individu lelaki dengan catatan 34 mata.

Aiman meninggalkan Muaz Mujahid dari Terengganu yang meraih perak dengan 46 mata, manakala Mohamad Hazim Suwandy dari Sarawak membawa pulang gangsa selepas mengumpul 51 mata.
Emas kedua pula diraih Nur Hafizanah Zailan dalam acara ILCA 4 individu wanita selepas mencatat 23 mata.
Pingat perak menjadi milik Dhalfina Natalia dari Terengganu dengan 33 mata, manakala Sara Amanda dari Kedah meraih gangsa dengan 35 mata.
Tiga lagi gangsa disumbangkan Mohammad Syahierdham dalam acara ILCA 6 individu lelaki, gandingan Bibi Qeesha Mohd Faiz dan Natasha Wong See Kei dalam International 420 wanita serta pasangan Danyal Marczqui Rahmat dan Muhammad Iftittah Andi bagi International 420 lelaki.
Presiden Persatuan Pelayaran Sabah, Zainal Madi, berkata pencapaian berkenaan membuktikan sasaran yang ditetapkan sebelum temasya berjaya direalisasikan hasil komitmen tinggi atlet, jurulatih dan pengurusan pasukan.
“Tahniah dan syabas kepada semua pemenang. Kejayaan ini juga menunjukkan program pembangunan pelayaran di Sabah berada pada landasan yang baik.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada KBSK dan MSN Sabah atas sokongan yang diberikan, selain jurulatih, pegawai kontinjen dan ibu bapa yang sentiasa berada di belakang atlet.
“Sokongan mereka amat penting bagi memastikan atlet dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada pertandingan,” katanya.
Menurutnya, kejayaan pada SUKMA kali ini perlu dijadikan pencetus semangat untuk melahirkan lebih ramai atlet pelayaran berkualiti dari Sabah pada masa depan.
“Kejayaan ini bukanlah penamat, sebaliknya satu permulaan untuk kita menetapkan sasaran lebih tinggi.
“Kita mahu melihat lebih ramai atlet muda Sabah diketengahkan dan diberikan peluang untuk berkembang sehingga mampu mewakili negara di peringkat antarabangsa.
“Kita akan terus bekerja keras dengan sasaran meningkatkan prestasi, memperkukuh pembangunan atlet muda dan memastikan Sabah terus menjadi antara kuasa utama dalam sukan pelayaran negara,” katanya.-Info X