Search

Lesen tamat tempoh, positif dadah cuba lolos sekatan jalan raya

August 22, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Tindakan seorang lelaki cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya sebelum menghalang anggota polis menjalankan tugas membawa padah apabila dia ditahan, hari ini.

Pemeriksaan lanjut mendapati lesen memandu lelaki tempatan itu sudah tamat tempoh, manakala ujian saringan air kencingnya positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis menjalankan tugas penguatkuasaan di daerah berkenaan.

Menurutnya, suspek dipercayai gagal mematuhi arahan anggota polis supaya memberhentikan kenderaan ketika melalui sekatan jalan raya.

“Suspek kemudian bertindak menghalang anggota polis daripada menjalankan tugas sebelum berjaya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 kerana tidak mematuhi isyarat anggota polis untuk memberhentikan kenderaan ketika sekatan jalan raya.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Khairul Shah menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan kejadian itu.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan polis ketika melalui sekatan jalan raya serta tidak bertindak agresif atau menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.

Terdahulu, tular rakaman berdurasi 21 saat di media sosial memaparkan beberapa anggota polis menahan lelaki berkenaan. – Info X