SEMPORNA: Seorang lelaki melecur di lengan selepas sebuah restoran di Hotel Pacific Semporna terbakar dalam kejadian tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsian, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian menerusi talian balai sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 12.52 tengah hari.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan restoran jenis separuh kekal berukuran kira-kira 30 x 40 kaki yang musnah sepenuhnya.
“Api turut menyebabkan bahangan kira-kira 20 peratus kepada bangunan Wave View Hotel yang terletak berhampiran.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dari dua arah iaitu darat dan laut bagi mengawal kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi dari darat menggunakan tiga aliran dan enam pancutan sejauh kira-kira 300 kaki dengan sumber air daripada jentera bomba serta pili bomba.
“BBP Air Semporna pula menjalankan pemadaman dari laut menggunakan satu aliran dan satu pancutan dengan sumber air terbuka.
“Menurut pekerja hotel, seorang lelaki mengalami kecederaan melecur pada tangan dan sudah dibawa pihak hotel ke Hospital Semporna untuk rawatan sebelum jentera bomba tiba,” katanya.
Zainal berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.47 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.11 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-Info X