Search

SUKMA XXII : Karate Sabah naik taraf kutipan kepada dua emas, empat gangsa

August 22, 2026

Info X Reporters

SUBANG JAYA: Skuad karate Sabah meningkatkan kutipan pingat pada hari kedua saingan apabila meraih dua emas dan dua gangsa pada SUKMA XXII Selangor 2026 di IDCC Shah Alam, hari ini.

Pencapaian itu menyaksikan Sabah menambah dua emas dan dua gangsa selepas mengumpul dua perak dan dua gangsa pada hari pertama pertandingan, kelmarin.

Dua pingat emas disumbangkan Aedola Fay Robert dalam acara kumite wanita bawah 61 kilogram (kg) dan Mohamad Haznil Henry menerusi kata individu lelaki.

Dua gangsa pula diraih Nur Radhiah Fathiah dalam kumite wanita bawah 55kg dan Ivy Olivera Donny bagi acara kata individu wanita.

Secara keseluruhan, skuad karate Sabah kini mengumpul dua emas, dua perak dan empat gangsa, dengan beberapa acara masih berlangsung sebelum pertandingan melabuhkan tirai esok.

Sementara itu, skuad tinju Sabah menambah dua pingat perak menerusi Arthur Ayyayu Annaraj dan Abraam Doozaeil Rycarl pada saingan di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh, UKM, Bangi.

Arthur tewas kepada wakil Johor, Wan Ahmad Dhia Haidar, dalam kategori lelaki 54-57kg, manakala Abraam akur kepada Syed Muhammad Hanafi dari Perak dalam kategori lelaki 60-63.5kg.

Pertandingan tinju turut dijadualkan berakhir esok.-Info X