Search

Dua remaja dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

August 22, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Dua remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan-rakan di Sungai Pagalan berhampiran Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Jastey Goment, 16, dan Khend Romel Ponce Caceres, 13, yang sehingga kini masih belum ditemukan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Severinus Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.15 petang.

Katanya, seramai 10 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan van dikerahkan ke lokasi sejauh empat kilometer.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.20 petang sebelum mendapatkan maklumat awal daripada saksi kejadian.

“Menurut saksi, kedua-dua mangsa mandi di sungai bersama beberapa rakan sebelum mereka disedari lemas dan gagal ditemukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diketuai Pegawai Bomba Kanan I Danny Boy Cornelio dengan pencarian di permukaan air dilakukan dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Katanya, usaha mengesan kedua-dua remaja berkenaan masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Info X