SANDAKAN: Seorang pekerja kontraktor elektrik maut selepas terkena renjatan ketika melakukan kerja pemasangan tiang elektrik di Bandar Tabin Jaya, di sini, malam ini.
Mangsa lelaki berusia 30 tahun ditemukan masih berada di atas tiang elektrik ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.53 malam.
Katanya, tujuh anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi sejauh sembilan kilometer.
“Operasi menurunkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan khas selepas bekalan elektrik diputuskan oleh Sabah Electricity bagi memastikan keselamatan anggota.
“Mangsa kemudian berjaya diturunkan sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut disertai Sabah Electricity, polis dan KKM tamat sepenuhnya pada jam 9.40 malam selepas lokasi disahkan selamat. – Info X