KENINGAU: Seorang daripada dua remaja lelaki yang dilaporkan lemas ketika mandi bersama rakan di Sungai Pagalan berhampiran Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini, ditemukan meninggal dunia, hari ini.
Mangsa, Jastey Goment, 16, ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 10.34 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Severinus Nidzam Sainkui berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dimulakan pada jam 9 pagi.
Katanya, operasi dibahagikan kepada dua sektor dengan pasukan pertama melakukan pencarian di permukaan air sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan kedua pula menjalankan pencarian di permukaan air menggunakan tali sejauh 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“PPDA memulakan selaman pertama pada jam 10.30 pagi sebelum menemukan mangsa empat minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa, Khend Romel Ponce Caceres, 13, yang masih belum ditemukan,” katanya.
Operasi SAR membabitkan anggota BBP Keningau dan PPDA Kuala Penyu dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Terdahulu, kedua-dua remaja itu dilaporkan lemas ketika mandi bersama beberapa rakan di sungai berkenaan, petang semalam.
Pasukan penyelamat melakukan pencarian sejauh dua kilometer sebelum operasi ditangguhkan pada jam 6 petang dan disambung semula hari ini. – Info X