KENINGAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua remaja lelaki yang lemas ketika mandi bersama rakan di Sungai Pagalan berakhir selepas mangsa terakhir ditemukan, petang hari ini.
Mangsa, Khend Romel Ponce Caceres, 13, ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada 3.55 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus Nidzam Sainkui berkata, mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 80 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 5 petang selepas kedua-dua mangsa berjaya ditemukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Operasi hari kedua yang bermula pada 9 pagi itu membabitkan 15 anggota dari BBP Keningau dan PPDA Kuala Penyu serta dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak lain.
Terdahulu, mangsa pertama, Jastey Goment, 16, ditemukan PPDA pada 10.34 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.
Kedua-dua remaja itu dilaporkan lemas ketika mandi bersama beberapa rakan berhampiran Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini, petang semalam. – Info X