Search

Sabah atasi kutipan emas di Sarawak

August 23, 2026

Info X Reporters

SUBANG JAYA: Sabah mengatasi kutipan pingat emas SUKMA Sarawak 2024 selepas menuai lima pingat emas disamping enam perak dan lapan gangsa pada hari kedua terakhir SUKMA XXII Selangor 2026 hari ini (Ahad).

Tuaian hari ini tersebut menjadikan keseluruhan pencapaian 30 emas, 26 perak dan 35 gangsa (setakat jam 7.00 malam Ahad), mengatasi kutipan 29 pingat emas di samping 36 perak dan 55 gangsa di Sarawak dua tahun lalu.

Beberapa acara masih berlangsung malam ini sebelum sukan dwitahun negara itu melabuhkan tirai malam esok (Isnin).

Skuad karate kumite wanita menang emas.

Dua daripada pingat emas hari ini dsumbangkan skuad wushu menerusi Amirah Sofea Azlan dan Fyenlly Himon di IDCC Shah Alam.

Amirah mengalahkan atlet Johor, See Ke Xin 2-0 pada final sanda 45-48kg wanita manakala Fyenlly mengalahkan peserta Pulau Pinang Terris Thaw Khai Zhe 2-1 dalam kategori sama lelaki.

Pasukan karate wanita yang dibarisi Nur Allyssa Audrey Anthony Tinggi, Adeola Fay Robert dan Ameera Jintha Liew serta Nur Radhiah Fathiah dan Chin Xue Yi sebagai atlet simpanan pula merangkul emas selepas menang 2-0 ke atas pasukan Johor.

Barisan pemain sepak takraw wanita Sabah rangkul emas acara regu tiga pemain untuk lengkapkan misi kekalkan semua gelaran juara acara wanita.

Hanya Nur Allyssa dan Adeola yang bertarung kerana kemenangan mereka cukup mengesahkan pingat emas milik Sabah pada pertarungan yang juga berlangsung di IDCC Shah Alam.

Di Arena MBSJ, Puchong pula, skuad sepak takraw wanita Sabah melengkapkan misinya mempertahankan gelaran juara semua acara wanita selepas membuat penamat emas acara regu tiga pemain.

Sebelum ini, skuad wanita sepak takraw Sabah merangkul emas acara regu dua pemain, regu empat pemain dan acara berpasukan.

Di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi pula menyaksi Marvell Vincent Voo terus menyinar dengan merangkul pingat emas dalam acara palang sejajar lelaki gimnastik artistik.

Marvell Marvel dengan pingat-pingat yang dimenangi dalam acara gimnastik artistik.

Sebelum ini, Marvell juga telah menyumbang satu emas dan satu perak acara individu serta pingat gangsa dalam cara berpasukan.

Pingat perak disumbang pasukan kumite lelaki karate (Xavier Luke, Syahmi Izzan Saharin, Khairil Iman Ahmat, Jude Joseph Johannes dan Jericho Jones Jason) dan regu tiga pemain lelaki takraw (Muhamad Sabarudin, Leo Mariandy Majurin, Irwanizan Seruji, Lye McDye Richo dan Harry Ulin).

Pemenang emas wushu lelaki, Fyenlly.

Dua pingat perak lagi dimenangi dalam acara muaythai menerusi Krystel Angel Jafili (51-54kg wanita) dan Ed Ryan Jefferon (51-54kg lelaki).

Sukan tinju juga menyumbang dua perak menerusi Cliff Mijol (lightweight 57-60kg) dan Muhammad Rayyan Haykal (middleweight 71-75kg).

Gangsa pula diraih Johanitasyah (tinju featherweight wanita 52-57kg), Mb Mohd Khairul Ariffin (muaythai 63.5-67kg), Kerry Dryan Jafili (muaythai 67-71kg), tiga pesilat wusyu iaitu Rylan Tan Jin Yi (52-56kg), Dione Babyline Fely (48-52kg) dan Brandon Eranel Soriano (56-60kg), pasukan ragbi wanita dan pasukan lawan pedang epee berpasukan lelaki.

Pemenang emas wushu wanita, Amirah.

Dengan masih ada beberapa acara berlangsung pada hari terakhir esok (Ahad), Sabah berpeluang menambah lagi kutipan pingat.