KOTA KINABALU: Sabah FA gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara Wanita AFC 2026/27 apabila tewas 2-0 pada perlawanan penentuan Kumpulan A Peringkat Awal AWCL di Stadium Likas, di sini, malam ini.
Perlawanan malam ini menyaksikan lawan Sabah, East Bengal FC dari India muncul pemenang bagi Kumpulan A dan layak ke peringkat seterusnya selepas berjaya mengutip mata penuh menerusi dua jaringan.
East Bengal mengecewakan Sabah selepas dua pemainnya, Olivia Anokye dan Soumya Guguloth berjaya menjaringkan gol, masing-masing pada minit ke-67 dan minit ke-86.

Jaringan 2-0 itu membolehkan pasukan dari India itu mendahului dengan sembilan mata setelah tanpa kalah dalam tiga perlawanan Kumpulan A, sekali gus mewakili kumpulan ke aksi seterusnya dalam saingan AWCL kali ini.
Pada perlawanan ini, Sabah perlu menang untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya, sedangkan East Bengal hanya perlu keputusan seri kerana memiliki kelebihan jaringan.

East Bengal sebelum ini menewaskan Rajshahi Stars FC 4-0 dari Bangladesh dan Rovers FC dari Guam 12-0.
Berikutan itu, aksi Sabah FA dalam saingan AWCL 2026/2027 berakhir setakat perlawanan Kumpulan A, setelah memenangi dua perlawanan, masing-masing menewaskan Rovers FC 13-0 dan Rajshahi Stars 2-1. – Info X