Search

Liga Super: Sabah FC mulakan kempen musim baharu dengan yakin

August 24, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC bersedia membuka tirai kempen Liga Super 2026/2027 dengan penuh keyakinan menerusi pertemuan dengan Star City FC di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Pengendalinya, Juan Torres Garido, menyifatkan aksi pembukaan itu sebagai peluang terbaik buat pasukannya memulakan musim dengan keputusan positif, selain mempersembahkan aksi menarik di hadapan penyokong sendiri.

Katanya, persiapan pasukan berjalan baik, termasuk pengalaman mengadakan persiapan di Indonesia yang membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta membentuk persefahaman antara pemain baharu dan pemain sedia ada.

“Skuad Sang Badak kini bersedia untuk memulakan saingan selepas melalui tempoh pramusim yang dimanfaatkan untuk memperkemaskan corak permainan dan taktikal pasukan,” katanya mengulas aksi pertama Sabah FC dalam Liga Super musim ini.

Garido turut menegaskan Sabah FC akan terus berpegang kepada identiti permainan yang diterapkan sepanjang pramusim, sambil menyifatkan pasukannya masih mempunyai banyak perkara untuk dipersembahkan kepada penyokong.

Mengulas Star City FC, beliau menyifatkan lawan sebagai sebuah pasukan yang mempunyai projek bercita-cita tinggi selepas menamatkan saingan di kedudukan kelima musim lalu, selain membawa masuk beberapa pemain berpengalaman dalam saingan liga.

Antaranya ialah Ramón Machado, yang bukan asing dengan bola sepak Sabah selepas pernah menyarung jersi Sabah FC pada separuh musim 2023 dan awal musim 2024-2025 ketika pasukan dibimbing Datuk Ong Kim Swee. Machado kemudian meneruskan kariernya di Liga Perdana Azerbaijan.

Dalam pada itu, sokongan penyokong di Stadium Likas menjadi antara aspek penting yang diberi perhatian Garido menjelang aksi pembukaan musim.

Beliau mahu lebih ramai penyokong kembali memenuhi Stadium Likas dan membantu mewujudkan suasana yang mampu memberi kelebihan kepada pasukan apabila beraksi di laman sendiri.

Sabah FC, katanya perlu membina semula kekuatan di Likas dengan mempersembahkan bola sepak yang menarik serta aksi yang mampu mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyokong.

Saingan sulung Sabah FC dalam Liga Super musim ini, iaitu menentang Star City FC dijadual bermula pada jam 8.15 malam ini di Stadium Likas.-Info X