TUARAN: Dua kapal pukat tunda rosak teruk dalam kebakaran di Jeti Torong Akung, Kampung Serusup, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.17 pagi sebelum 10 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada 6.32 pagi, pasukan mendapati kebakaran membabitkan dua kapal nelayan milik persendirian.
“Kapal pertama terbakar kira-kira 80 peratus manakala kapal kedua 90 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air daripada jentera.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada 8 pagi sebelum operasi ditamatkan dua jam kemudian selepas memastikan tiada lagi bahaya.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X