RANAU: Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) pertuturan yang dilaporkan hilang sejak petang semalam ditemukan selamat di kawasan tadahan air di Kampung Kirokot, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia 25 tahun ditemukan penduduk kampung pada 7.30 pagi, kira-kira lima kilometer dari rumahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa pada 8.57 malam.
“Menurut abang mangsa, kehilangan adiknya disedari selepas dia tidak pulang ke rumah sejak 3 petang.
“Mangsa dipercayai berjalan tanpa tujuan di sekitar kawasan kampung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun mangsa gagal ditemukan.
Katanya, operasi ditangguhkan pada 12.23 tengah malam sebelum disambung semula pagi tadi.
“Ketika pasukan tiba di lokasi, kami dimaklumkan mangsa sudah ditemukan penduduk kampung dalam keadaan selamat.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya sebelum operasi SAR ditamatkan pada 10.25 pagi,” katanya. – Info X