SANDAKAN: Perselisihan faham mengenai upah mengubah suai rumah serta rasa tidak puas hati terhadap kenaikan kadar sewa bulanan dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita warga emas di Tanah Merah, Jalan Leila, di sini.
Mangsa berusia 62 tahun ditemukan dalam keadaan mereput di dalam tandas rumah kayu dua tingkat miliknya, dengan tangan diikat menggunakan tali di belakang badan serta kepala ditutup menggunakan kain.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam pada 8.10 malam, 19 Ogos lalu selepas terhidu bau kurang menyenangkan dari rumah berkenaan.
Menurutnya, anggota dari Balai Polis Sandakan tiba di lokasi kira-kira 35 minit kemudian sebelum menemui mayat mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari sebelumnya.
“Pemeriksaan berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemukan di tempat kejadian mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan.
“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dengan bantuan Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kemudian menjalankan siasatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
George berkata, tindakan pantas polis membawa kepada penahanan 10 individu dalam tempoh kurang 24 jam sebelum dua daripada mereka dikenal pasti sebagai suspek utama.
Katanya, semua yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita berusia antara 10 hingga 39 tahun.
“Tiga daripada mereka adalah warga Filipina, manakala tujuh lagi warga tempatan dan kesemuanya mempunyai hubungan kekeluargaan.
“Soal siasat lanjut mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham mengenai upah mengubah suai rumah mangsa serta rasa tidak puas hati kerana mangsa menaikkan kadar sewa bulanan rumah yang didiami semua suspek,” katanya.
Menurutnya, polis turut merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan sebagai senjata serta beberapa barangan peribadi mangsa yang dilarikan suspek.
“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X