Search

Liga Super: Sang Badak langkah kanan mulakan saingan musim baharu

August 24, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC memulakan saingan Liga Super musim 2026/2027 dengan langkah kanan apabila menewaskan Star City FC 3-1 dalam aksi pertamanya di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Sang Badak bagaimanapun terpaksa bekerja keras untuk menambah jaringan selepas terikat 1-1 pada babak pertama sebelum melakar dua gol pada baki permainan separuh masa kedua.

Pemain pertahanan Sabah, Dane James Ingham menghadiahkan gol pertama tuan rumah selepas menerima hantaran rakannya, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-26.

Jaringan itu, bagaimanapun berjaya disamakan pasukan pelawat dalam masa dua minit selepas itu apabila Star City mendapat peluang baik menjaringkan gol menerusi Rafael Vitor.

Rafael menanduk bola hasil sepakan sudut yang diberikan kepada pasukan pelawat sebelum bola tandukannya jatuh tepat ke dalam kiri gawang Sabah.

Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat 45 minit pertama perlawanan.

Beralih ke separuh masa kedua, Sabah meneruskan asakan ke atas Star City dalam usaha menambah jaringan, sebelum jaringan kedua Sang Badak muncul pada minit ke-88 untuk Sabah mendahului permainan dengan 2-1 hasil jaringan Darren Lok.

Memasuki masa kecederaan, satu lagi jaringan dilakar pemain Sang Badak menerusi pemain import dari Korea Selatan, Park Jungbin, sekali gus mengubah kedudukan kepada 3-1.

Jungbin sebelum itu kecewa apabila jaringannya pada minit ke-66 dibatalkan disebabkan ofsaid. – Info X