KOTA KINABALU: Perkasa Realty Sdn Bhd (PRSB) merancang membina terminal pengecasan kenderaan elektrik (EV) di setiap projek pembangunan baharu yang dilaksanakannya di kawasan luar bandar negeri ini.
Pengurus Besar PRSB, Mat Saidi Minting, berkata ia adalah antara komponen baharu yang dimasukkan dalam pelan pembangunan (DP) PRSB untuk projek baharu yang dilaksanakan, sebagai perancangan strategik jangka panjang memenuhi keperluan masa depan.
Katanya, terminal pengecasan EV itu sebagai tambahan kepada komponen sedia ada iaitu pembinaan stesen minyak mini untuk projek yang dilaksanakan di luar bandar.
Beliau berkata, pihaknya memahami dan mengikuti kemajuan teknologi automotif global yang turut berkembang di negeri ini.
“Kita dapat melihat sekarang trend penggunaan EV, maka pembinaan terminal pengecasan adalah suatu keperluan di kawasan luar bandar.
“Dengan adanya kemudahan ini nanti, maka pengguna EV tidak perlu risau untuk pergi ke kawasan luar bandar,” katanya dalam pertemuan bersama wakil media di pejabatnya baru-baru ini.
Mat Saidi berkata terminal pengecasan EV itu akan menjadi nilai tambah kepada projek pembangunan baharu PRSB, sekali gus membolehkan industri lain turut berkembang.
“Sebagai perintis pembangunan nilai tambah ini, PRSB berbangga dapat menyediakan kemudahan terbaik kepada komuniti di kawasan luar bandar,” katanya.
PRSB adalah anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang bertanggungjawab dalam pembangunan premis perniagaan Bumiputera di kawasan pekan baharu dan luar bandar.
Antara misinya adalah untuk membangunkan premis perniagaan di seluruh Sabah, termasuk mengenal pasti kawasan luar bandar yang berimpak tinggi untuk pembangunan kedai.
Mat Saidi berkata sehingga kini PRSB sudah membangunkan lebih 120 projek di seluruh Sabah membabitkan penerima manfaat melebihi 1,500 individu dan syarikat Bumiputera.
Katanya, PRSB lebih awal merintis pembangunan di kawasan-kawasan terpencil di negeri ini, termasuk sejauh Paitan, Long Pasia dan Pulau Sebatik.
“Antara projek yang sedang dilaksanakan sekarang termasuk di Tungku, Lahad Datu, Sook dan Kinabatangan, manakala yang sedang dalam proses penyerahan kepada pembeli pula di Pekan Telupid dan Merotai,” katanya.
Sementara di kawasan Tongod, katanya dua fasa projek telah dilaksanakan dengan fasa kedua baru sahaja disiapkan dan diperuntukkan kepada usahawan-usahawan Bumiputera beberapa tahun lalu.
“Kita sedang giat mengenal pasti beberapa lagi kawasan baharu yang berpotensi untuk dibangunkan.
“Usaha ini akan dilaksana, sama ada di atas tanah milik Sedco atau secara kolaborasi dengan agensi kerajaan lain seperti Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dan pembangunan secara usahasama dengan pemilik-pemilik tanah persendirian ,” katanya. – Info X