KOTA KINABALU: Pemilik kedai, penyewa dan pengusaha perniagaan di Bandar Baru Menggatal mendesak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberi penjelasan menyeluruh berhubung proses kelulusan dan perancangan cadangan pembangunan semula di kawasan berkenaan.
Desakan itu diketuai jurucakap kumpulan berkenaan, Michael Wong, dan diwakili peguam, Chong Kian Meng, menerusi penyerahan perwakilan rasmi kepada DBKK.
Mereka menegaskan tidak membantah sebarang pembangunan yang sah, namun mahu projek yang berpotensi memberi kesan kepada tempat letak kereta, laluan pejalan kaki, jalan raya, sistem perparitan dan infrastruktur penting lain dinilai secara wajar serta dilaksanakan secara telus.
Kumpulan berkenaan turut meminta DBKK mendedahkan asas undang-undang dan perancangan bagi kelulusan yang sudah diberikan, termasuk agensi kerajaan yang terbabit, status kelulusan, penilaian teknikal serta syarat yang dikenakan.
Selain itu, mereka mahu dokumen berkaitan projek disediakan untuk semakan, termasuk pelan tapak dan susun atur, pelan pembangunan diluluskan, cadangan perubahan tempat letak kereta dan kawasan pejalan kaki, penilaian trafik, kajian risiko banjir dan perparitan serta pelan utiliti.
Mereka turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemungkinan kesan pembangunan terhadap operasi perniagaan sedia ada, khususnya dari segi akses pelanggan, penghantaran barangan, pergerakan pekerja dan kelancaran operasi.
Menurut kumpulan itu, kerja pembinaan juga berpotensi menyebabkan gangguan bunyi, debu, getaran dan kesesakan lalu lintas yang perlu dinilai serta disertakan langkah mitigasi bersesuaian sebelum kerja utama dimulakan.
Bagi memastikan kesan pembangunan dinilai secara objektif, mereka turut mendesak supaya pasukan profesional pelbagai disiplin yang bebas dilantik untuk menjalankan penilaian menyeluruh.
Penilaian itu antaranya membabitkan kapasiti sistem perparitan dan risiko banjir, aliran trafik, kapasiti jalan raya, kecukupan tempat letak kereta, keselamatan pejalan kaki, akses kenderaan kecemasan serta risiko struktur terhadap premis sedia ada.
Ia juga perlu menilai potensi kesan kerja penanaman cerucuk dan getaran pembinaan, infrastruktur utiliti, alam sekitar serta kesan keseluruhan projek terhadap kelangsungan perniagaan dan kehidupan komuniti setempat.
Kumpulan berkenaan turut meminta satu sesi perundingan rasmi diadakan membabitkan DBKK, pemaju, pemilik kedai, penyewa, pengusaha perniagaan terjejas dan pakar teknikal berkaitan.
Mereka berkata sesi itu penting bagi membolehkan pihak terjejas meneliti pelan pembangunan, mendapatkan penjelasan, mengemukakan maklumat teknikal serta menyuarakan kebimbangan berhubung potensi kesan dan langkah mitigasi.
Mereka turut meminta minit mesyuarat rasmi direkodkan dan diedarkan kepada semua pemegang taruh bagi menjamin ketelusan serta akauntabiliti.
Sementara menunggu pendedahan maklumat, penilaian teknikal bebas dan sesi perundingan, kumpulan itu memohon DBKK menangguhkan sebarang kerja yang boleh mengubah secara kekal tempat letak kereta, laluan pejalan kaki, jalan raya, sistem perparitan atau infrastruktur awam utama.
Wong menegaskan permohonan itu bukan penolakan terhadap pembangunan.
“Kami tidak membantah pembangunan. Kami mahukan ketelusan, penilaian yang wajar dan jaminan bahawa hak serta mata pencarian komuniti Menggatal tidak terjejas,” katanya.
Kumpulan itu kini menunggu maklum balas bertulis DBKK mengenai status cadangan pembangunan semula, asas undang-undang dan perancangan projek, senarai kelulusan, agensi kerajaan terbabit serta penilaian teknikal yang sudah dijalankan.
Mereka turut mahu DBKK menjelaskan cadangan langkah mitigasi dan keputusan sama ada penilaian profesional bebas serta sesi perundingan rasmi bersama pemegang taruh akan dianjurkan.
Pemilik kedai, penyewa dan pengusaha perniagaan berharap DBKK serta pihak berkuasa berkaitan dapat berinteraksi secara konstruktif dengan komuniti terjejas bagi memastikan pembangunan semula Bandar Baru Menggatal dilaksanakan secara telus, berasaskan penilaian teknikal kukuh dan mengutamakan keselamatan awam serta kepentingan komuniti setempat.-Info X