Search

SPRM bentang lapan syor perbaiki tatakelola projek pembinaan Sabah

August 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengemukakan lapan syor penambahbaikan tatakelola bagi memperkemas pengurusan projek pembinaan di negeri ini.

Syor itu membabitkan fungsi dan bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Jabatan Bendahari Negeri Sabah serta Kementerian Kewangan Negeri Sabah.

Penyiasatan tatakelola berkenaan memberi tumpuan terhadap pengurusan Projek Pembinaan Jalan Dua Hala Lintasan Libaran dan menaik taraf Jalan Gum-Gum Kecil di Sandakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Antara penambahbaikan dicadangkan ialah mewujudkan garis panduan lengkap berkaitan proses pembayaran kontrak kerja dan pembekalan serta menaik taraf dan mengintegrasikan sistem pengurusan tuntutan sedia ada.

SPRM Sabah turut mencadangkan kod bayaran khusus bagi Akaun Amanah JKR Sabah dan mewujudkan Akaun Amanah di bawah jabatan berkenaan.

Syor lain termasuk mewujudkan Pekeliling Pentadbiran Kontrak, menambah baik penggunaan borang standard JKR Sabah serta menyediakan garis panduan khusus berkaitan pengurusan Akaun Amanah.

Selain itu, SPRM mencadangkan pewujudan pekeliling berkaitan penubuhan dan tanggungjawab Jawatankuasa Contract Coordinator Panel (CCP), tatacara pengurusan projek sakit serta pelantikan kontraktor penyiap.

Kesemua syor itu dibentangkan Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, di Kementerian Kewangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Timbalan Bendahari Negeri Sabah (Pembangunan), Hamdan Hamzani dan Pengarah JKR Sabah, Baharuhom K K Sogon menyambut baik syor berkenaan.

Ketiga-tiga agensi berkenaan bersedia meneliti dan mengambil tindakan susulan termasuk mengemas kini garis panduan serta menaik taraf sistem sedia ada.

Persetujuan itu dizahirkan menerusi pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang disaksikan Mohd Fuad Bee.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Sabah, Alexander S Kunghi dan Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham. – Info X