Search

Kastam tumpas sembilan kes seludup minuman keras bernilai RM4.15 juta

August 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup 190,080 liter minuman keras menggunakan kontena dengan menyamarkannya sebagai kargo perdagangan biasa berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah.

Rampasan bernilai keseluruhan RM4.15 juta termasuk duti dan cukai itu dilakukan menerusi sembilan kes berasingan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, bulan ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, enam kes pertama dikesan ketika anggota penguat kuasa Kota Kinabalu memeriksa kontena di Kawasan Pemeriksaan Kastam (CEA), Pelabuhan Sepanggar pada 10 Ogos lalu.

“Hasil pemeriksaan menemukan minuman keras pelbagai jenama membabitkan nilai keseluruhan RM2.67 juta termasuk duti dan cukai.

“Susulan penemuan itu, enam kontena disita bagi membolehkan pemeriksaan terperinci serta siasatan lanjut dijalankan terhadap status pemilikan, dokumen sokongan dan pematuhan keperluan kastam,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini.

Amran berkata, siasatan awal mendapati kontena terbabit dipercayai digunakan untuk menyeludup minuman keras melalui laluan perdagangan maritim dengan menyamarkan penghantaran berkenaan sebagai kargo perdagangan biasa.

Katanya, pengikraran dan dokumentasi penghantaran turut disyaki tidak tepat bagi mengelakkan pengesanan serta pembayaran duti dan cukai.

“Minuman keras itu dipercayai diisytiharkan sebagai perabot dan paip PVC bagi mengelakkan pengesanan serta pembayaran duti dan cukai. Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati kontena berkenaan sebenarnya mengandungi minuman keras,” katanya.

Menurutnya lagi, tiga lagi kes dikesan menerusi pemeriksaan kontena oleh Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu di Pelabuhan Sepanggar pada 13 Ogos lalu.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 71,280 liter bir bernilai RM1.49 juta termasuk duti dan cukai.

“Modus operandi kes ini dipercayai menggunakan saluran import dan kemudahan logistik pelabuhan yang sah untuk membawa masuk barangan yang disyaki tidak mematuhi peruntukan kastam,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan minuman keras yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.11 juta, manakala duti dan cukai terbabit berjumlah RM3.04 juta.

Katanya, semua sembilan kes disiasat mengikut Seksyen 133 dan Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Menurutnya, kesalahan mengikut Seksyen 133(1)(a) memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Bagi kesalahan pertama mengikut Seksyen 135(1)(a), pesalah boleh didenda antara 10 hingga 20 kali amaun duti kastam atau antara RM50,000 hingga RM500,000, mengikut mana-mana jumlah lebih besar, atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.

“Identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Info X