Search

JBPM gempur ‘Bilik Sarang Burung’, ‘Bilik Liang Lahad’

August 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menggempur beberapa premis kedai yang diubah suai tanpa kebenaran untuk dijadikan tempat penginapan menerusi operasi sekitar bandar raya ini.

Operasi bersepadu bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu mendapati premis terbabit mempunyai pelbagai bahaya kebakaran termasuk laluan keluar sempit, pendawaian elektrik tidak teratur dan tiada pelan tindakan kecemasan.

Di Sembulan, empat premis dikenakan Notis Menghapuskan Bahaya mengikut Seksyen 8 serta Perintah Tutup mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Sementara itu, pemeriksaan di Bandaran Berjaya membabitkan tiga lot bangunan empat tingkat yang turut diberikan notis selepas ditemukan beberapa pelanggaran serius terhadap aspek keselamatan kebakaran.

Antaranya, bilik hanya dipisahkan menggunakan papan lapis nipis, selain premis tidak mempunyai laluan keluar kecemasan, alat pemadam api, pengesan asap dan lampu kecemasan.

Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, Operasi Bilik Sarang Burung dan Bilik Liang Lahad itu dilaksanakan sebagai langkah penguatkuasaan serta pencegahan bagi memastikan aspek keselamatan kebakaran sentiasa berada pada tahap ditetapkan.

Katanya, JBPM memandang serius perkara berkenaan kerana keselamatan nyawa dan harta benda menjadi keutamaan jabatan.

“Sebarang keadaan atau pengubahsuaian premis yang boleh menjejaskan aspek keselamatan kebakaran tidak boleh dipandang ringan.

“Pendekatan operasi ini bukan semata-mata berorientasikan penguatkuasaan, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap aspek pencegahan, pematuhan dan kesedaran keselamatan kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Pisar berkata, pemeriksaan turut mengesan sistem elektrik, kipas dan peralatan lain yang tidak disenggara dengan baik, selain premis digunakan tidak mengikut kelulusan atau kegunaan asal bangunan.

Menurutnya, kesalahan berkenaan dikategorikan sebagai ‘bahaya kebakaran’ sebagaimana tafsiran Seksyen 2 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

“Notis Menghapuskan Bahaya turut dikeluarkan mengikut Seksyen 8, manakala Perintah Tutup dikeluarkan mengikut Seksyen 13 akta sama,” katanya.

Beliau berkata, JBPM Sabah akan terus memperkukuh penguatkuasaan dan pemantauan secara berperingkat di seluruh negeri berdasarkan hasil pemeriksaan serta pengenalpastian oleh setiap zon.

Katanya, semua pemilik dan pengurusan premis dinasihatkan supaya memberikan kerjasama sepenuhnya serta segera membetulkan sebarang kelemahan berkaitan keselamatan kebakaran.

“Keselamatan kebakaran adalah tanggungjawab bersama. Jangan tunggu sehingga berlaku kejadian, barulah kita sedar untuk memperbetulkan keadaan.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.-Info X