Search

Jeffrey desak PMX tunaikan segera hak 40 peratus Sabah

August 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, segera melaksanakan hak Sabah menerima 40 peratus hasil negeri seperti diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, hak berkenaan bukan budi bicara Kerajaan Persekutuan, sebaliknya hak perlembagaan yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta ditegaskan menerusi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025.

Katanya, Anwar perlu bertindak selaras dengan kenyataan terdahulu bahawa isu 40 peratus berkenaan sudah selesai.

“Perdana Menteri mesti bertindak berdasarkan kata-katanya dan mengambil peluang keemasan ini untuk melaksanakan hak Sabah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jeffrey berkata, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melengahkan pembayaran kerana hasil berkenaan adalah bahagian yang menjadi hak Sabah.

“Ini bukan soal kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan. Wang itu bukan wang kerajaan Persekutuan, sebaliknya bahagian kita.

“Sabah amat memerlukan hasil ini untuk menyelesaikan masalah yang masih berlarutan dan sedang dihadapi negeri, termasuk bekalan air, gangguan elektrik, kemiskinan dan kemunduran,” katanya.

Beliau berkata, pemberian khas interim RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri ketika sambutan Kaamatan masih jauh lebih rendah berbanding jumlah yang sepatutnya diterima Sabah.

Katanya, hak Sabah bagi 2026 sahaja dianggarkan tidak kurang daripada RM5 bilion.

“Saya menggesa Kerajaan Persekutuan menghentikan pembayaran interim dan mula membayar sepenuhnya 40 peratus berkenaan, bermula dari 2024,” katanya.

Pada masa sama, Jeffrey mencadangkan supaya sistem MA63 Revenue Tracking System (MARTS) diwujudkan di Sabah bagi membolehkan kutipan hasil Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu dijejaki dan diklasifikasikan secara masa nyata.

“Kita memerlukan sistem untuk menjejak dan mengklasifikasikan hasil yang dikutip dari Sabah secara masa nyata supaya pengagihan boleh dibuat setiap tahun,” katanya.

Kitingan berkata, pelaksanaan hak 40 peratus itu bukan sahaja memberi manfaat kepada kerajaan Madani, malah berpotensi mengukuhkan sokongan politik daripada blok Borneo.

“Pelaksanaan 40 peratus akan memberi manfaat kepada kerajaan Madani dan mungkin mengukuhkan sokongan politik blok Borneo,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kegagalan Perdana Menteri bertindak boleh mencetuskan reaksi seperti referendum pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“PMX (Perdana Menteri Ke-10) perlu bertindak kerana kegagalan berbuat demikian mungkin mencetuskan reaksi seperti referendum dalam PRU yang bakal diadakan,” katanya.

Jeffrey mendakwa Sabah menyumbang sehingga RM50 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan, dengan bahagian 40 peratus berpotensi mencecah RM20 bilion setahun.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya pemberian subsidi tidak disamakan dengan hak perlembagaan Sabah.

Katanya, subsidi adalah bentuk bantuan, manakala hak 40 peratus adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut mempersoalkan status rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus berkenaan dan meminta Perdana Menteri menjelaskan sama ada beliau memberikan kebenaran untuk rayuan itu dibuat.

“Jika tidak, Perdana Menteri perlu mengarahkan Peguam Negara menarik balik rayuan berkenaan,” katanya.

Jeffrey menegaskan hak 40 peratus hasil Sabah adalah hak kekal negeri itu selagi Malaysia wujud.-Info X