Search

Stor perabot terbakar di Papar

August 27, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Sebuah stor penyimpanan perabot milik Seri Jati Perabot Baru terbakar dalam kejadian di sini, petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Ronny Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.58 petang sebelum jentera tiba di lokasi dua minit kemudian.

Katanya, kebakaran membabitkan bahagian stor penyimpanan perabot dan operasi pemadaman sedang giat dijalankan.

“Seramai 21 anggota dari BBP Papar dibantu BBP Kimanis, BBP Putatan dan BBP Penampang terbabit dalam operasi berkenaan.

“Pasukan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan sepanjang kira-kira 61 meter bagi memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi turut membabitkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT), sebuah lori tangki air dan dua kenderaan utiliti.

Katanya, setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, manakala operasi pemadaman masih diteruskan.

“Maklumat lanjut mengenai keluasan stor yang terbakar serta punca kejadian akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X