TAWAU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah menganjurkan Program Jualan Madani Koperasi (JMK) Sempena Bulan Kemerdekaan 2026 di perkarangan Kampung Sungai Tongkang, Pulau Sebatik, Tawau, pada Khamis.
Program yang disempurnakan Pengarah SKM Sabah, Awg Ruslli Mohammad itu membolehkan penduduk setempat membeli barangan keperluan harian pada harga diskaun sehingga 20 peratus, merangkumi minyak masak, tepung gandum, gula, beras, sardin, mi segera dan telur.
SKM Sabah dalam kenyataannya berkata, JMK adalah inisiatif berterusan SKM dengan kerjasama gerakan koperasi bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, di samping memperluas peranan koperasi sebagai penggerak ekonomi komuniti setempat.
Katanya, pemilihan Pulau Sebatik sebagai lokasi penganjuran kali ini mencerminkan komitmen SKM untuk memastikan manfaat program turut dinikmati oleh komuniti di kawasan pedalaman dan sempadan negara.
“Penganjuran JMK adalah selari dengan hasrat Dasar Koperasi Negara 2021-2030 (DKN 2030) dan aspirasi Malaysia MADANI yang meletakkan koperasi sebagai teras pembangunan ekonomi rakyat secara inklusif dan mampan,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sebatik, Abdul Karim Tompong; Pengerusi Koperasi Emas Tawau Berhad, Kamariah Ahmad; selain Ketua Kampung, Imam dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari kampung-kampung sekitar Pulau Sebatik.
SKM berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti SKM boleh melayari laman web www.skm.gov.my atau mengikuti media sosial rasmi SKM di Facebook (SuruhanjayaKoperasiMalaysia), Instagram dan TikTok (suruhanjayakoperasi) serta X (skm_malaysia). – Info X