Search

Enam termasuk tiga wanita didakwa edar ekstasi

August 28, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Enam individu didakwa di Mahkamah Majistret Tawau, di sini, atas pertuduhan mengedar 659.16 gram dadah jenis ekstasi dan memiliki 1.16 gram ketamin pada Jumaat.

Tertuduh berusia 20 hingga 39 tahun itu ditahan pada Rabu lalu menerusi satu serbuan di sebuah rumah inap mewah di Taman Nordin, di sini.

Mereka ialah Lisyanti Ibrahim, Andi Moh Arifai Tatta, Chang Vui Hiung, Sherlin Liew Zi Ling, Muhammad Haikal Daniel Azman dan Shazzreena.

Berdasarkan kertas pertuduhan, keenam-enam tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah MDMA atau ekstasi seberat 659.16 gram di sebuah rumah inap di Taman Nordin, Jalan Kuhara, kira-kira jam 4.30 pagi, 26 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dalam pertuduhan berasingan, semua tertuduh mengaku bersalah memiliki ketamin seberat 1.16 gram mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffery Kadison.-Info X