PENAMPANG: Lima individu terselamat selepas dua kenderaan dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di The Garden Condominium, di sini, malam ini.
Kejadian itu menyebabkan Toyota Avanza dan Toyota Vanguard berkenaan mengalami kerosakan, namun semua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.54 malam sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi.
“Pasukan bomba yang tiba empat minit kemudian mendapati sebatang pokok tumbang menghempap dua kenderaan terbabit.
“Terdapat lima mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu, namun semuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan gergaji berantai untuk memotong pokok berkenaan sebelum mengalihkannya ke kawasan selamat.
Katanya, tindakan itu dilakukan bagi menghapuskan risiko bahaya terhadap penghuni kondominium dan orang ramai di kawasan berkenaan.
“Operasi ditamatkan pada 8.28 malam selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya. – Info X