Search

Sang Badak belasah Penang 2-0 di Likas

August 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC menepati sasaran untuk mencipta kemenangan kedua Liga Super musim ini apabila menundukkan Penang FC 2-0 di Stadium Likas, malam ini.

Meskipun beraksi di padang yang licin akibat hujan lebat ditambah angin kencang, Sang Badak gagal dijinakkan pasukan Penang yang datang dengan misi untuk menidakkan kemaraan tuan rumah.

Gol kemenangan Sabah masing-masing dijaringkan pada separuh masa pertama dan kedua oleh penyerangnya, Gonzalo Ignacio Di Renzo dan pemain pertahanan, Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim.

Di Renzo menghadiahkan gol pertama Sabah pada minit ke-40, manakala Hanafie Tokyo pada minit ke-53.

Aksi babak pertama berakhir dengan hanya seminit masa tambahan, tanpa sebarang perubahan kedudukan yang menyaksikan Sabah mendahului 1-0.

Beralih ke separuh masa kedua, Hanafie Tokyo mendapat peluang yang baik untuk menewaskan penjaga gol Penang, Mohd Ramdhan Ab Hamid pada minit ke-53 untuk Sabah selesa di hadapan dengan kedudukan 2-0.

Selepas itu, Sabah berdepan asakan pemain Penang yang terdesak mencari gol untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan, khususnya ketika perlawanan memasuki 15 minit terakhir.

Beberapa situasi dan cubaan berbahaya berjaya dicipta pemain lawan, namun pertahanan tuan rumah yang kental menyukarkan usaha mereka membolosi gawang Sabah.

Tuan rumah hampir dibolosi menerusi sepakan percuma Penang FC dari luar kotak penalti Sabah pada minit ke-88, namun berjaya ditampan penjaga gol Sang Badak, Juan Flere.

Ia adalah usaha akhir pasukan lawan untuk mendapatkan jaringan pada minit akhir perlawanan, sebelum dihadiahkan sepakan sudut pada minit kecederaan, namun masih gagal mendapat sebarang gol.

Sang Badak turut mendapat peluang akhir pada minit kecederaan apabila dihadiahkan sepakan percuma, namun gagal membuahkan hasil.

Kemenangan 2-0 pada malam ini menepati sasaran Sabah FC untuk sekali lagi memenangi perlawanan awal Liga Super musim ini selepas menewaskan Star City FC 3-1 pada Isnin lalu. – Info X