Search

Lebih tiga tan minyak masak dirampas di jeti tidak berdaftar

August 29, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Lebih tiga tan minyak masak peket dipercayai cuba diseleweng dirampas dalam serbuan di sebuah jeti tidak berdaftar di Kampung Tanjung Kapor, di sini, semalam.

Serbuan kira-kira 7.20 pagi oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima serahan kes berkenaan daripada PPM menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).

“Sebanyak 3,060 kilogram minyak masak paket satu kilogram pelbagai jenama dan enam tong gas petroleum cecair (LPG) dirampas.

“Turut dirampas sebuah bot kayu berwarna hijau dan tiga unit enjin pam berkuasa 19 kuasa kuda,” katanya.

Menurut kenyataan itu, nilai barang kawalan yang dirampas dianggarkan RM7,809.60, manakala barangan bukan kawalan bernilai RM2,000. Jumlah keseluruhan rampasan bagi kes berkenaan dianggarkan RM9,809.60.

“Lelaki yang ditahan diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.

“Semua barangan rampasan pula disimpan sementara di Pangkalan dan Stor Eksibit PPM Semporna bagi tujuan siasatan.

“Kes diklasifikasikan sebagai rampasan tanpa tuan dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

KPDN memberi amaran kepada individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan penyelewengan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan berkenaan boleh menyalurkan aduan menerusi WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000 atau pusat panggilan 1-800-886-800,” katanya. – Info X