GYIRONG, Xizang (China): Tiga rakyat Malaysia antara 261 warga asing dari 23 negara yang dikenal pasti masih belum dapat dikesan susulan kejadian tanah runtuh melanda Pelabuhan Gyirong di sempadan China-Nepal, Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China pada 26 Ogos, menurut pihak berkuasa tempatan pada Ahad.
Angka terbaharu itu diumumkan pada sidang media anjuran pejabat penerangan kerajaan wilayah berkenaan selepas operasi pencarian bersama serta semakan maklumat oleh pihak berkuasa hal ehwal luar, keselamatan awam, kebudayaan dan pelancongan serta pengurusan kecemasan, lapor Xinhua.
Daripada 261 warga asing berkenaan, 104 berasal dari Nepal, 49 dari India, 33 dari Latvia, 18 dari Amerika Syarikat, 15 dari Britain, masing-masing enam dari Kanada dan Australia, empat dari Afrika Selatan serta masing-masing tiga dari Malaysia, Jerman dan Rusia.
Turut belum dapat dikesan ialah masing-masing dua warga Ireland, Estonia, Perancis, Belanda dan New Zealand, serta masing-masing seorang dari Kazakhstan, Finland, Lithuania, Portugal, Ukraine, Sepanyol dan Hungary.
Pihak berkuasa China telah memaklumkan perkara itu kepada kedutaan dan konsulat negara terbabit di China, menurut sidang media berkenaan.
Selepas beberapa pusingan operasi pencarian, pemeriksaan di lokasi serta semakan terhadap individu di pintu sempadan itu, tiada pelancong asing dilaporkan masih terkandas di daerah Gyirong setakat ini, menurut pihak berkuasa.
China turut membuka dua talian hotline berbahasa Inggeris yang beroperasi 24 jam untuk keluarga warga asing yang masih belum dapat dikesan, iaitu 0086-891-6817165 dan 0086-18308026705.– BERNAMA-XINHUA