KOTA KINABALU: Kawasan kebakaran di Kampung Lok Buta, Numbak, di sini, diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan kebakaran besar yang memusnahkan ratusan rumah, awal pagi hari ini.
Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut dibuka di Dewan Kampung Likas dan Dewan Damai bagi menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, bancian awal mendapati sebanyak 202 rumah terjejas dalam kebakaran itu.

“DBKK sudah mengisytiharkan kawasan ini sebagai kawasan bencana, manakala dua PPS dibuka di Dewan Kampung Likas dan Dewan Damai.
“Kita berharap semua mangsa mendaftarkan diri di PPS bagi memudahkan proses pengesahan serta penyaluran bantuan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan terjejas akibat kebakaran di Numbak, Sepanggar, hari ini.
Mustapha berkata, kebajikan pelajar yang menjadi mangsa turut diberi perhatian, terutama mereka yang sedang membuat persiapan untuk mendaftar ke universiti, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi pengajian lain.
Katanya, perkara itu akan dibawa kepada Kementerian Pendidikan bagi memastikan pendidikan mereka tidak terjejas akibat bencana berkenaan.

Menurutnya, DBKK bersama agensi berkaitan juga perlu mengadakan perbincangan bagi menentukan tindakan susulan dan masa depan kawasan terjejas.
Beliau turut mencadangkan perkara itu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan dihadiri Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah.
“Keperluan mangsa serta masa depan kawasan terbabit perlu diteliti bagi membolehkan tindakan sewajarnya dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, kebakaran yang berlaku awal pagi tadi menjejaskan 202 rumah atas air di Kampung Lok Buta, Numbak.
Tiga kanak-kanak yang ditemukan rentung ialah dua beradik, Mohd Azrul Abdullah, 6, dan Nana Abdullah, 4, serta sepupu mereka, Siti Norfarahdila Mohd Tazea, 8. – Info X