Search

Jerebu tambah kebimbangan nasib mangsa kebakaran Numbak

August 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Keadaan jerebu yang semakin ketara di Sabah menambah kebimbangan terhadap kesihatan mangsa kebakaran Kampung Lok Buta, Numbak, khususnya kanak-kanak dan warga emas yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kebajikan dan kesihatan golongan mudah terjejas itu perlu diberi perhatian sewajarnya susulan keadaan cuaca serta kualiti udara ketika ini.

“Kehilangan rumah dan harta benda sudah cukup berat untuk mereka. Dalam keadaan jerebu sekarang, kita harap kebajikan dan kesihatan mereka turut diberi perhatian.

“Apa yang penting sekarang ialah kita membantu mereka melalui waktu sukar ini,” katanya ketika meninjau kawasan kebakaran, hari ini.

Dalam kunjungan itu, Mohd Shafie turut menyampaikan bantuan bagi meringankan beban penduduk, terutama mereka yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Antara bantuan disalurkan termasuk 100 kilogram beras, 1,000 karton air mineral berkapasiti 1.5 liter, makanan dan pelbagai barangan keperluan harian.

Sumbangan berkenaan diharap dapat memenuhi keperluan asas mangsa dalam tempoh awal pascakebakaran ketika sebahagian besar mereka masih berdepan kehilangan kediaman serta barangan harian.

Kebakaran kira-kira 1.30 pagi itu memusnahkan 202 rumah atas air dan mengorbankan tiga kanak-kanak.

Susulan kejadian, Kampung Lok Buta, Numbak diisytiharkan sebagai kawasan bencana.

Dua PPS dibuka di Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Damai yang menempatkan 134 mangsa daripada 40 ketua isi rumah (KIR). – Info X