Search

KM serah bantuan RM3,000 kepada KIR mangsa kebakaran Kg Numbak

August 31, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini melawat mangsa kebakaran Kampung Numbak dan menyerahkan bantuan RM3,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) warga negara bagi meringankan beban keluarga yang terjejas.

Bantuan itu membabitkan RM1,000 dari Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, RM1,000 dari Kerajaan Persekutuan dan RM1,000 dari Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

“Saya ingin umumkan bahawa kerajaan memberi bantuan sebanyak RM3,000 kepada setiap KIR warga negara untuk meringankan bebanan mereka, RM1,000 dari Kerajaan Negeri, RM1,000 dari Kerajaan Persekutuan dan RM1,000 dari YKS,” katanya ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Numbak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Likas, di sini, pada Isnin.

Seramai 110 KIR warga negara Malaysia terjejas akibat kebakaran Kampung Numbak, dengan 73 KIR ditempatkan di PPS Dewan Damai dan 37 lagi di PPS Dewan Serbaguna Likas.

Hajiji turut mengumumkan kerajaan akan membantu mangsa warga negara dengan menyediakan peralatan yang diperlukan bernilai RM20,000 untuk setiap KIR warga negara yang terjejas bagi membina semula rumah yang musnah akibat kebakaran itu.

Katanya, urusan pembinaan semula rumah akan dikendalikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), termasuk menentukan sama ada rumah berkenaan dibina di kawasan lain atau di lokasi asal.

Beliau berkata, bantuan peralatan untuk membina rumah akan diberikan kepada setiap KIR warga negara sebagaimana pendekatan bantuan yang diberikan kepada mangsa kebakaran di kawasan lain seperti di Kudat baru-baru ini.

Sementara itu, Hajiji berkata atas dasar kemanusiaan, kerajaan juga akan menyalurkan bantuan RM1,000 kepada setiap KIR bukan warga negara yang terjejas, selain bantuan makanan dan keperluan lain.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, rancangan Filipina menaik taraf Pulau Balabac bagi tujuan ketenteraan Amerika Syarikat tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia dan tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan kepada Sabah.

“Jangan timbul isu itu. Amerika membuka kem tenteranya di kawasan Filipina, di Pulau Balabac. Itu kawasan negara Filipina. Ia tidak ada kaitan dengan negara Malaysia ataupun siapa,”
katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengetahui matlamat pembinaan kem tentera berkenaan, namun rakyat perlu melihat perkembangan itu secara positif kerana ia mungkin berkaitan keperluan Amerika Syarikat mengadakan kem tentera di rantau timur.

Hajiji turut menegaskan Sabah tidak akan terkesan dengan perkembangan di pulau berkenaan. – Info X