PENAMPANG: Atlet Sabah Karate Association Penampang (SKA Penampang), Calantha, mencipta pencapaian membanggakan apabila disenaraikan dalam NBO Hall of Fame selepas meraih tiga pingat emas dalam tempoh tiga tahun berturut-turut dalam acara kumite individu bawah 40 kilogram (kg).
Kejayaan itu dicapai pada North Borneo Open Karate-Do Championship 2026 yang berlangsung di Dewan Kebudayaan Penampang dari 27 hingga 30 Ogos lalu.
Selain Calantha, dua lagi atlet SKA Penampang turut mencuri tumpuan apabila masing-masing dinobatkan sebagai Best Male Karatekas dan Best Female Karatekas kejohanan.
Danial Henry Saimpon dinobatkan sebagai Best Male Karatekas selepas memenangi pingat emas dalam acara kata individu dan kumite individu bawah 40kg, selain menyumbang pingat gangsa dalam acara kata berpasukan bawah 15 tahun.
Sementara itu, Zanna Mae Marius pula dipilih sebagai Best Female Karatekas selepas cemerlang meraih dua pingat emas menerusi acara kata individu dan kumite individu bawah 42kg.
Lebih membanggakan, pengiktirafan itu adalah kali kedua buat Zanna selepas turut dinobatkan sebagai Best Female Karatekas pada edisi 2024.
Kejohanan anjuran Shitoryu Sabah itu turut mendapat penyertaan atlet dari Hong Kong, Nepal, Brunei dan Filipina, selain peserta dari dalam negara.
Majlis perasmian kejohanan berkenaan turut disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Pencapaian tiga atlet SKA Penampang itu menyerlahkan prestasi membanggakan karate Penampang, selain menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk terus mengukir kejayaan di peringkat lebih tinggi.-Info X