Search

Sembilan pelajar cedera bas persiaran terbabit kemalangan

August 31, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Sembilan pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Sabah cedera ringan selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbabit kemalangan di Simpang Tiga Jalan Kota Belud – Kundasang, di sini, hari ini.

Bas berkenaan disewa untuk membawa 35 pelajar bersama seorang guru sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Kanan Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11 pagi.

Katanya, dua anggota bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi sejauh 39 kilometer dan tiba pada 11.40 pagi.

“Seramai sembilan pelajar mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Mereka dibawa menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tuaran dan Kota Belud serta ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan keadaan di lokasi selamat serta terkawal sebelum operasi ditamatkan pada 12.32 tengah hari.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya. – Info X