Search

Penempatan semula Kampung Numbak perlu dibuat secara terancang, ambil kira keselamatan – Aliakbar

August 31, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mempunyai polisi yang jelas dan menyeluruh dalam menangani kawasan penempatan daif, termasuk perancangan jangka panjang yang mengambil kira aspek keselamatan, kebajikan, kemudahan asas dan kemampuan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata pendekatan yang tersusun lebih baik supaya penyelesaian yang dilaksanakan bukan sekadar bersifat sementara, sebaliknya mampu memberikan perubahan yang berkekalan kepada kehidupan masyarakat.

“Antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah penempatan semula secara terancang, khususnya bagi kawasan yang dikenal pasti mempunyai risiko keselamatan, di samping penyediaan rumah kos rendah yang mencukupi dan mampu didiami rakyat, terutama kepada warganegara yang benar-benar memerlukan.

“Kita percaya setiap keluarga berhak mempunyai tempat tinggal yang selamat. Rumah bukan sekadar tempat berlindung daripada panas dan hujan, tetapi menjadi asas kepada ketenangan sebuah keluarga dan tempat membina masa depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin berhubung kebakaran yang memusnahkan penempatan atas air di Kampung Numbak.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah itu menzahirkan rasa simpati dan dukacita kepada seluruh mangsa yang terjejas akibat kebakaran di kampung berkenaan.

“Semoga semua keluarga yang terlibat diberikan ketenangan, kekuatan serta dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian yang berat ini.

“Kejadian seperti ini pastinya meninggalkan kesan yang mendalam kepada mangsa, terutama mereka yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

“Dalam keadaan sebegini, kita berharap segala bantuan dan sokongan dapat terus diberikan kepada keluarga yang terjejas agar mereka dapat melalui tempoh sukar ini dengan sebaiknya,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya kejadian itu juga mengingatkan pentingnya perhatian berterusan kerajaan terhadap keadaan dan kebajikan masyarakat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan penempatan daif atau setinggan.

“PN Sabah percaya bahawa masyarakat di kawasan sedemikian juga mengharapkan sebuah kehidupan yang lebih selamat dan selesa.

“Justeru, keadaan penempatan, kemudahan asas serta faktor keselamatan wajar diberikan perhatian secara berterusan agar risiko yang tidak diingini dapat diminimumkan,” katanya.

Sementara itu, Aliakbar merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah, semua agensi yang terlibat, badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan serta semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan dan sokongan.

Katanya, keprihatinan dan kesediaan untuk bersama-sama membantu pada saat sukar amat dihargai.

“PN Sabah berharap kejadian di Kampung Numbak ini dapat menjadi iktibar dan membuka ruang kepada semua pihak untuk memperkukuh usaha mencari penyelesaian terbaik terhadap isu penempatan daif di Sabah.

“Kita yakin dengan perancangan yang baik, dasar yang jelas dan kerjasama semua pihak, kehidupan masyarakat dipertingkatkan secara berperingkat tanpa mengabaikan aspek kemanusiaan dan kebajikan mereka,” katanya. – Info X