KOTA KINABALU: Sabah FC dan Selangor FC terikat 2-2 dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Piala FA yang menyaksikan saingan sengit kedua-dua pasukan di Stadium Likas, di sini, malam ini.
Tuan rumah memulakan jaringan pada minit ke-33 menerusi tandukan Dane James Ingham selepas menyambut sepakan sudut yang disempurnakan rakannya, Park Jungbin untuk memberi kelebihan 1-0 kepada Sabah.
Kelebihan dimiliki Sang Badak itu bagaimanapun hanya bertahan kira-kira dua minit apabila Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan percuma pada minit ke-35.
Pasukan pelawat berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan penyerangnya, Kay Sheku Tejan selepas menyambut bola sepakan percuma dari rakannya.
Aksi kedua-dua pasukan agak seimbang sepanjang babak pertama, namun tiada tambahan jaringan sehingga tamat 45 minit pertama dan tiga minit masa tambahan.
Separuh masa kedua menyaksikan Selangor memulakan langkah agresif dan berjaya menambah jaringan menerusi Chrigor Flores Moraes untuk mendahului 1-2 pada minit ke-50.
Skuad Sang Badak tidak berdiam diri, sebaliknya mula mengatur serangan balas sebelum berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-58.
Jaringan kedua tuan rumah itu muncul selepas pemain tengahnya, Abdul Halim Saari melakukan rembatan leret setelah cubaan pertama melalui sepakan sudut oleh Jungbin dapat dihalang pertahanan Selangor.
Tindakan Abdul Halim itu gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi, sekali gus menyelamatkan tuan rumah daripada ditewaskan pasukan pelawat dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Piala FA, malam ini.
Tiada jaringan berjaya dicipta kedua-dua pasukan selepas masing-masing memiliki dua gol sepanjang baki perlawanan babak kedua yang bersambung dengan tiga minit masa tambahan.
Sang Badak juga gagal memanfaatkan kelebihan bermain 11 pemain selepas pertahanan Selangor, Muhammad Safuwan Baharudin dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-78 yang menyebabkan pasukan pelawat terpaksa bermain 10 orang.
Kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu pada perlawanan kedua Pusingan 16 Piala FA yang dijadualkan pada 9 September ini. – Info X