KOTA KINABALU: Mekanisme pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah masih perlu ditambah baik dengan mengambil kira realiti geografi, sosioekonomi dan corak penggunaan kenderaan masyarakat luar bandar serta pedalaman.
Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, berkata antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah isu pengguna sebenar kenderaan diesel yang kenderaannya tidak didaftarkan atas nama sendiri.
“Di Sabah, terdapat kenderaan yang didaftarkan atas nama pasangan, ibu bapa atau ahli keluarga, termasuk disebabkan faktor kelayakan pembiayaan.
“Walaupun mekanisme pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga terdekat telah disediakan, proses tersebut perlu dipermudah supaya pengguna sebenar yang layak tidak tercicir daripada menerima subsidi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, aspek mekanisme pelaksanaan itu perlu ditambah baik seiring langkah kerajaan menaikkan kuota pembelian diesel bersubsidi kepada 400 liter sebulan mulai 1 September, berbanding 200 liter sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya kerajaan masih perlu menilai sama ada had baharu 400 liter diesel itu benar-benar mencukupi bagi masyarakat luar bandar dan pedalaman Sabah.
Jelasnya, bagi masyarakat di kawasan seperti Tenom, kenderaan pikap dan pacuan empat roda bukanlah lambang kemewahan, sebaliknya menjadi kenderaan kerja dan nadi untuk mencari rezeki.
“Jarak perjalanan yang panjang serta keadaan muka bumi dan jalan raya yang mencabar menyebabkan corak penggunaan diesel di Sabah tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan kawasan bandar yang mempunyai jaringan pengangkutan awam dan infrastruktur lebih baik.
“Sekiranya kuota habis sebelum penghujung bulan, kos tambahan yang terpaksa ditanggung akhirnya akan memberi kesan kepada pendapatan masyarakat luar bandar, kos membawa hasil pertanian dan kegiatan ekonomi setempat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menimbangkan mekanisme kuota tambahan berdasarkan keperluan dan kategori pengguna, khususnya bagi petani, pekebun kecil serta penduduk pedalaman yang menggunakan kenderaan diesel untuk mencari rezeki.
Riduan turut menekankan kepentingan penguatkuasaan terhadap ketirisan dan penyeludupan diesel yang perlu terus diperketatkan.
Tegasnya, pemantauan di sempadan, rantaian bekalan dan transaksi bahan api perlu diperkasakan supaya subsidi negara tidak dinikmati oleh pihak yang tidak layak.
“Ketirisan perlu ditutup pada puncanya, bukannya dengan mengehadkan keperluan rakyat Sabah yang benar-benar memerlukan diesel untuk kehidupan dan pekerjaan mereka.
“Saya percaya matlamat penyasaran subsidi adalah baik. Namun, Sabah mempunyai realiti yang berbeza dan mekanisme pelaksanaannya perlu mempunyai fleksibiliti yang mengambil kira keadaan tersebut.
“Subsidi bersasar perlu
menyasarkan pihak yang layak, bukannya mengehadkan mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Terdahulu, Riduan berkata keputusan kerajaan Persekutuan meningkatkan kelayakan BUDI Diesel kepada 400 liter sebulan menunjukkan kerajaan mendengar maklum balas rakyat. – Info X