KOTA KINABALU: Pacific Partnership 2026 (PP26) bukan latihan peperangan atau ketenteraan, sebaliknya memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Seri Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, pelaksanaan program itu di Sabah turut membuktikan negeri berkenaan selamat untuk dikunjungi peserta antarabangsa.
Beliau berkata, PP26 memperkukuh kerjasama antara Malaysia dengan negara peserta, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menghadapi sebarang bencana.
“Pacific Partnership bukan berkonsepkan ‘war fighting’ atau latihan ketenteraan, tetapi lebih kepada latihan yang membabitkan bantuan kemanusiaan.
“Bencana tidak mengenal sempadan atau bidang kuasa sesebuah agensi dan negara. Sebab itu, semua negara yang terbabit perlu bekerjasama dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pembukaan PP26 di Dewan Mengkabong, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah, di sini, hari ini.
Tengku Muhammad Fauzi berkata, penganjuran PP26 turut memberi keyakinan kepada negara peserta bahawa Sabah berada dalam keadaan selamat.
“Masih terdapat negara yang mengenakan sekatan perjalanan ke Sabah atas faktor keselamatan.

“Namun, pelaksanaan program ini membantu membawa agenda negara dalam memastikan Malaysia, khususnya Sabah, selamat dan sesuai dikunjungi semua pihak,” katanya.
Menurutnya, Malaysia sebelum ini terbabit dalam lima siri Pacific Partnership yang dilaksanakan di Kuala Lumpur, Lumut, Kuching dan kali terakhir di Kuantan, Pahang pada 2023.
Katanya, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah bagi PP26 yang berlangsung di Kota Kinabalu dari 2 hingga 15 September ini.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada empat komponen utama, iaitu projek pembaikan infrastruktur awam, program kesihatan komuniti dan simposium perubatan, latihan mencari dan menyelamat maritim serta program pendidikan dan persembahan kebudayaan.
PP26 menghimpunkan 502 peserta, terdiri daripada 187 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 192 anggota tentera Amerika Syarikat dan 75 anggota tentera dari Australia, Kanada, Jerman, Jepun, Korea Selatan, Singapura serta United Kingdom.
Turut menyertai program itu ialah 48 peserta daripada NGO.
Sementara itu, Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, David H Gamble Jr berkata, setiap peserta membawa kemahiran dan kepakaran tersendiri, khususnya dalam bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana.
“Cabaran yang dihadapi semakin besar, termasuk kebakaran hutan dan tanah runtuh. Kita perlu sentiasa bersedia dengan menjalani latihan serta bekerjasama kerana tiada negara mampu menanganinya bersendirian.
“Kita akan menjadi lebih kuat apabila bekerjasama,” katanya.
Menurutnya, penganjuran Pacific Partnership oleh Malaysia buat kali keenam mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi menghadapi bencana dan situasi kecemasan. – Info X