Search

76 hotel diperiksa, 34 tawaran kompaun dalam Ops Trigger 2026

September 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 76 premis hotel diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerusi Task Force Ops Trigger 2026, semalam.

Operasi serentak di seluruh Sabah itu dilaksanakan bagi mengesan kesalahan berkaitan sistem penggera kebakaran.

Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, ia khususnya membabitkan tindakan sengaja menyahaktifkan, mengasingkan atau memintas sistem penggera tanpa alasan teknikal yang sah.

“Operasi bermula jam 10 pagi hingga 3 petang dan pemeriksaan dilaksanakan Zon dan Balai JBPM di seluruh negeri.

“Hasil operasi mencatatkan 34 tawaran kompaun dikeluarkan terhadap premis yang dikesan melakukan kesalahan dengan keseluruhan nilai kompaun berkenaan mencecah RM4,600.

“Kesalahan berkenaan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 55, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341),” katanya.

Beliau berkata, operasi ini bukan semata-mata bertujuan mengeluarkan kompaun, sebaliknya, bagi memastikan pengurusan hotel mengambil serius keselamatan kebakaran.

“Sistem penggera kebakaran perlu sentiasa berada dalam keadaan berfungsi kerana keselamatan penghuni dan tetamu premis adalah keutamaan.

“Sistem penggera kebakaran penting bagi memberikan amaran awal ketika berlaku kecemasan.

“Ia tidak seharusnya dinyahaktifkan tanpa alasan teknikal yang sah,” katanya.

Menurutnya, JBPM Sabah memandang serius tindakan yang menjejaskan fungsi sistem keselamatan kebakaran.

“Kegagalan sistem berfungsi boleh meningkatkan risiko kepada nyawa penghuni, risiko itu lebih membimbangkan bagi premis penginapan berkapasiti tinggi yang dikenali sebagai risiko penghuni sedang tidur atau sleeping risk.

“JBPM Sabah akan mempergiat penguatkuasaan dan pemantauan dengan fokus diberikan terhadap premis berisiko, khususnya sektor perhotelan.

“Langkah itu bagi memastikan tahap pematuhan keselamatan kebakaran sentiasa berada pada tahap ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, operasi berkenaan turut menjadi usaha berterusan JBPM Sabah memperkukuh penguatkuasaan.

“Pada masa sama, ia meningkatkan kesedaran pengurusan premis mengenai keperluan keselamatan kebakaran,” katanya. – Info X