Search

Keningau pernah dilanda beberapa siri gempa bumi

September 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Keningau pernah mencatat beberapa siri gempa bumi lemah sebelum kejadian terbaharu yang dilaporkan berlaku pada jam 9.31 pagi Khamis.

Menerusi satu kenyataan, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata rekod sebelum ini menunjukkan gempa bumi lemah pernah berlaku di daerah itu pada 2019, 2023 dan 6 Oktober 2024.

“Rekod pemantauan analisis seismik menunjukkan bahawa Keningau pernah mencatatkan beberapa siri gempa bumi lemah sebelum ini, termasuk kejadian pada tahun 2019, 2023 dan pada 6 Oktober 2024.

Kejadian yang berlaku hari ini (Khamis) merupakan sebahagian daripada pelepasan tenaga tektonik tempatan di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) akan terus memantau rapi sebarang aktiviti gempa susulan di
kawasan itu dan menyampaikan maklumat perkembangan terkini secara telus dari semasa ke semasa.

Kementerian, katanya turut menasihatkan orang ramai agar tidak berasa bimbang atau panik kerana gempa bumi itu berada pada paras bermagnitud lemah dan tidak menimbulkan ancaman tsunami.

Dalam kejadian pada Khamis, Arthur berkata MET Malaysia menerusi Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional mengesan satu kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 pada kedalaman 10 kilometer yang berlaku di Keningau pada jam 9.31 pagi.

Katanya, berdasarkan analisis teknikal seismologi yang dikemas kini, pusat gempa bumi itu terletak pada koordinat 5.3° Utara dan 116.11° Timur, iaitu kira-kira 10 kilometer di barat Keningau.

“Gegaran akibat gempa bumi ini telah dirasai secara nyata oleh penduduk di sekitar daerah Keningau.

“Sehingga jam 11.30 pagi (Khamis), MET Malaysia menerima sebanyak 463 laporan gegaran dirasai daripada orang awam berhampiran,” katanya. – Info X