KOTA KINABALU: Perjalanan sebuah keluarga dari Labuan untuk menghantar anak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, bertukar menjadi pengalaman luar biasa apabila seekor anak monyet belanda ditemukan terperangkap berhampiran radiator kereta mereka, hari ini.
Kehadiran ‘penumpang’ tidak diundang itu hanya disedari selepas pemandu ditegur anggota keselamatan sebaik tiba dan meletakkan Toyota Vios berwarna perak di hadapan Pintu 4 balai ketibaan KKIA.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10.06 pagi sebelum empat anggota digerakkan dua minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, pengadu memaklumkan terdapat seekor monyet terperangkap di bahagian berhampiran radiator keretanya.
“Dua anggota yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) mengeluarkan haiwan itu menggunakan penjerut melalui ruang di bawah bumper,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, anak monyet jantan berwarna perang kemerahan itu berjaya dikeluarkan dengan selamat dan operasi selesai pada 10.40 pagi.
Aizex berkata, berdasarkan maklumat awal, pemandu dipercayai terlanggar haiwan berkenaan tanpa disedari ketika dalam perjalanan dari Labuan sebelum monyet itu tersangkut pada bahagian bumper kereta.
Katanya, kejadian sedemikian jarang berlaku, lebih-lebih lagi membabitkan anak monyet belanda yang ditemukan masih terperangkap selepas kenderaan berkenaan menempuh perjalanan jauh hingga ke lapangan terbang.
“Anak monyet itu kemudian dibawa ke pejabat APM Kota Kinabalu dan akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X