Search

Sabah bukan sekadar ‘cantik dalam kamera’

September 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bukan sekadar menawarkan lokasi penggambaran menarik, Sabah mahu bakat tempatannya turut berada di barisan hadapan sebagai pencipta dan peneraju karya yang mampu menembusi pasaran lebih luas.

Kejayaan telemovie Aku, Kau dan Dia terbitan Del Films Production menerusi Dana Program TV Borneo menjadi bukti penggiat seni negeri ini mempunyai kemampuan menghasilkan kandungan berkualiti dan bernilai komersial.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Industri Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Sabah memiliki ramuan lengkap untuk mengembangkan industri kreatif, daripada keindahan lokasi dan kekayaan budaya hingga kepelbagaian cerita serta bakat tempatan.

“Sabah tidak kurang bakat. Kita mempunyai penulis, pelakon, pengarah, penerbit, jurukamera, editor, tenaga teknikal dan begitu ramai anak muda kreatif yang sedang mencari ruang untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah memastikan bakat-bakat ini terus diberikan peluang, pendedahan dan ruang untuk berkembang,” katanya ketika mengulas kejayaan telemovie berkenaan.

Menurutnya, penggiat kreatif tempatan perlu diberikan ruang bukan sahaja untuk terbabit dalam produksi, malah mencipta dan menerajui karya sendiri.

Katanya, kejayaan Aku, Kau dan Dia membawa makna lebih besar daripada sekadar terhasilnya sebuah telemovie kerana ia memperlihatkan potensi karya Sabah untuk bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi pengguna karya. Kita mahu Sabah menjadi pencipta karya,” katanya.

Nizam berkata, Sabah tidak seharusnya hanya dikenali sebagai lokasi pilihan produksi luar, sebaliknya perlu melahirkan lebih banyak karya daripada idea dan sentuhan anak tempatan.

Pada masa sama, katanya, industri kreatif bukan hanya berkisar mengenai dunia lakonan atau pengarahan, tetapi turut membuka ruang pekerjaan dan perniagaan kepada pelbagai pihak.

Menurutnya, sebuah produksi menggerakkan khidmat penulis skrip, jurukamera, editor, kru teknikal, jurusolek dan pereka kostum, selain pengusaha peralatan, pengangkutan, makanan serta penginapan.

“Dalam ekonomi masa kini, kreativiti mempunyai nilai. Idea, cerita dan kandungan mempunyai nilai.

“Sekiranya semua potensi ini dibangunkan dengan baik, ekonomi kreatif mampu menjadi antara sumber pertumbuhan baharu kepada negeri kita,” katanya.

Beliau berkata, sektor itu juga berpotensi meningkatkan taraf hidup belia menerusi sumber pendapatan baharu berasaskan bakat dan kreativiti.

Dalam pada itu, Nizam mahu penggiat seni menjadikan identiti Sabah sebagai kekuatan penceritaan, bukan sekadar latar yang mencantikkan sesebuah karya.

Katanya, kepelbagaian masyarakat, adat, budaya, makanan dan kehidupan penduduk tempatan mempunyai keistimewaan tersendiri untuk diangkat dalam filem, drama serta telemovie.

“Seseorang yang tidak pernah datang ke Sabah boleh tertarik untuk mengenali negeri ini hanya kerana melihat keindahan lokasi, budaya dan kehidupan masyarakat kita melalui sesebuah karya.

“Inilah bagaimana kandungan kreatif boleh bergerak seiring dengan usaha mempromosikan pelancongan, kebudayaan dan identiti negeri,” katanya. – Info X